INANAM, SABAH – Komitmen Thonny Chee Initiative (TCI) dalam memperluas akses masyarakat kepada maklumat, perkhidmatan kesihatan serta sokongan kebajikan terus diperkasakan menerusi penganjuran TCI Well-Health 2026 bersama penduduk Kampung Kironggu, Inanam pada 13 September lalu.
Program berkenaan menghimpunkan kerjasama rentas kepakaran melibatkan Klinik Kesihatan Inanam, Unit MENTARI Hospital Mesra Bukit Padang, Pensyarah Kaunseling Universiti Malaysia Sabah (UMS) serta Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan Universiti Malaysia Sabah, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat setempat untuk mendapatkan maklumat, khidmat nasihat serta pendedahan berkaitan kesihatan fizikal, kesihatan mental dan pemakanan dalam satu platform. Berteraskan pendekatan turun padang, TCI membawa pelbagai perkhidmatan, maklumat dan saluran sokongan lebih dekat kepada komuniti, selaras dengan peranannya sebagai penghubung antara masyarakat dengan agensi, institusi dan saluran bantuan yang bersesuaian.
Pemilihan Kampung Kironggu,Inanam sebagai lokasi program turut mencerminkan keberanian TCI untuk mendekati komuniti yang berada lebih jauh ke dalam kawasan Inanam. Perjalanan menuju ke penempatan berkenaan melibatkan laluan berbukit serta kawasan yang dikelilingi kebun kelapa sawit sebelum tiba di kawasan kediaman penduduk kampung.
Pemilihan lokasi tersebut memberikan gambaran nyata bahawa sebahagian masyarakat masih berada dalam persekitaran yang memerlukan pendekatan penyampaian perkhidmatan yang lebih dekat, bersasar dan berteraskan keperluan sebenar di lapangan. Justeru, kehadiran TCI ke kawasan komuniti membawa makna yang lebih besar daripada sekadar penganjuran sebuah program. Ia merupakan usaha untuk membawa maklumat, akses dan jaringan sokongan terus ke pintu komuniti, khususnya kepada golongan yang mungkin memerlukan panduan dalam mengenal pasti saluran bantuan serta perkhidmatan yang tersedia.
Dalam aspek kesihatan mental, TCI Well-Health 2026 turut memberikan penekanan menerusi sesi ceramah bertajuk Pengurusan Stres dan Penjagaan Kesihatan Mental yang disampaikan oleh Pensyarah Kaunseling UMS, Dr. Norafifah binti Bali.
Sesi tersebut memberikan pendedahan mengenai tanda-tanda stres, teknik pengurusan dan pengawalan stres, kepentingan sokongan sosial serta langkah mendapatkan bantuan profesional apabila diperlukan. Pengisian berkenaan turut diperkukuhkan melalui penglibatan Unit MENTARI Hospital Mesra Bukit Padang, yang menyediakan kepakaran berkaitan kesihatan mental serta sokongan rujukan bagi individu yang memerlukan penilaian dan bantuan lanjut. Kehadiran Unit MENTARI memberikan nilai tambah kepada program dengan membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami bahawa isu kesihatan mental mempunyai saluran sokongan dan rujukan profesional yang boleh dikenal pasti serta diakses apabila diperlukan. Dalam aspek kesihatan fizikal pula, Klinik Kesihatan Inanam memainkan peranan menerusi pemeriksaan asas kesihatan, termasuk pemeriksaan darah dan pengukuran indeks jisim badan (BMI), selain memberikan nasihat serta sokongan berkaitan saringan dan promosi kesihatan fizikal serta mental.
Melengkapkan rangkaian perkhidmatan tersebut ialah Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan, Universiti Malaysia Sabah, yang menyediakan konsultasi berkaitan pemakanan dan diet seimbang. Kehadiran kepakaran dalam bidang pemakanan membolehkan aspek kesihatan komuniti dilihat secara lebih menyeluruh, bukan sahaja daripada sudut pemeriksaan fizikal dan kesihatan mental, malah turut merangkumi amalan pemakanan yang menyokong pembentukan gaya hidup lebih sihat.
Seiringin dengan usaha ini,TCI turut membuka kaunter semakan dan rujukan bantuan sebagai salah satu inisiatif strategik dalam memperkukuh akses komuniti terhadap saluran bantuan yang bersesuaian. Menerusi kaunter tersebut, khususnya penduduk Kampung Kironggu berpeluang mendapatkan maklumat, semakan awal serta panduan berkaitan bentuk bantuan yang tersedia dan saluran rujukan yang berkaitan, sekali gus membantu memastikan keperluan serta permasalahan komuniti dapat dikenal pasti dan disalurkan kepada pihak atau agensi yang bertepatan. Pendekatan ini mencerminkan komitmen TCI untuk bukan sahaja menyampaikan bantuan, malah menjadi penghubung antara masyarakat setempat dengan ekosistem perkhidmatan dan sokongan sosial yang dapat dimanfaatkan oleh mereka.
Gabungan penglibatan TCI bersama pihak kesihatan, institusi akademik dan tenaga kepakaran daripada UMS memperlihatkan satu bentuk kerjasama rentas sektor dan kepakaran yang mampu membuka akses lebih luas kepada penduduk setempat. Dalam satu lokasi, masyarakat bukan sahaja berpeluang menerima maklumat secara langsung, malah turut diberikan ruang untuk mengemukakan persoalan, mendapatkan penjelasan serta memahami pilihan sokongan yang bersesuaian berdasarkan keperluan masing-masing.
Keseluruhan pengisian tersebut memperlihatkan bahawa TCI Well-Health 2026 dirangka bukan sekadar sebagai sebuah program kesedaran, sebaliknya sebagai platform bersepadu yang menghimpunkan elemen kesihatan, kesejahteraan, pemakanan serta akses kepada jaringan kebajikan dalam satu pendekatan yang lebih menyeluruh.
Lebih signifikan, program ini memperlihatkan bahawa jaringan kerjasama merupakan elemen penting dalam memastikan sesuatu usaha pembangunan komuniti mempunyai capaian yang lebih luas dan mampu memberi manfaat secara lebih bermakna kepada masyarakat di peringkat akar umbi. TCI turut menegaskan bahawa pelaksanaan TCI Well-Health 2026 bukanlah satu titik noktah. Sebaliknya, hubungan yang dibentuk bersama penduduk, agensi serta institusi yang terlibat membuka ruang kepada pembinaan jaringan sokongan yang boleh terus diperkukuh dari semasa ke semasa.
Rentetan dari itu, kekuatan sesebuah inisiatif masyarakat bukan semata-mata terletak pada skala penganjurannya, tetapi pada keupayaannya membuka akses yang lebih mudah, mempertemukan masyarakat dengan pihak yang tepat, mendengar keperluan sebenar di lapangan serta membina jaringan yang berpotensi diterjemahkan kepada tindakan susulan.
TCI Well-Health 2026 menjadi gambaran bahawa apabila organisasi, agensi, institusi akademik dan komuniti bergerak dalam satu jaringan yang saling melengkapi, akses kepada kesihatan, maklumat dan sokongan dapat dibawa lebih dekat kepada mereka yang memerlukannya.
Disediakan Oleh :
Marina Hiew , 22 Sept 2026